20 Ramadhan. 3 pagi. Sunyi. Bunyi cengkerik pun tak ada. Yang kedengaran hanya bunyi mesin jahit mak.
Kreuk kreek kreuk kreek.
Ayah mengeluh.
"Dah uzur sangat mesin jahit mak. Kena beli baru. Tak pun bubuh minyak. Bagi lincir sikit. Kan ayah?" soal aku pada ayah.
Ayah senyap. Pura-pura tidur. Aku tahu. Sepatutnya tidur ayah dengan dengkuran. Aku bangun ke bilik menjahit mak. Mak nampak tekun. Yelah. Apa lagi yang boleh buat semasa menjahit. Kena fokus. Habis kuat pun dengar radio. Tapi pagi tu mak tak pasang radio. Lain dari biasa.
"Mak?" panggil aku. Mak toleh . Kemudian sambung menjahit.
Kreuk kreek kreuk kreek.
"Kenapa bangun?" soal mak.
Kreuk kreek kreuk kreek.
"Mesin mak bunyi kuat sangat. Pian terjaga. Mak nak Pian ambilkan minyak gris?" jawap aku bersambung soalan. Mak senyum.
"Dah bubuh minyak. Tapi bunyi jugak. Ayah kau terjaga ke?" soal mak.
"Ayah tutup kepala dengan bantal. Macam terjaga. Kenapa tak pasang radio?" soal aku kembali.
"Banyak sangat lagu raya. Baju, langsir apa semua banyak lagi tak siap." Jawap mak.
Mak sambung menjahit. Perbualan kami terhenti. Aku kembali baring sebelah ayah. Keadaan kembali seperti tadi. Sunyi. Masih tak ada bunyi cengkerik. Pejam mata. Tutup kepala dengan bantal. Sayup-sayup kedengaran bunyi mesin jahit mak.
Kreuk kreek kreuk kreek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan