Aku mengintai sejenak ke jendela rumah pangsaku. Kelihatan lelaki tua berlari seakan berjalan meniti usia tuanya, seorang kanak-kanak lelaki senyap bersila di padang permainan, lelaki muda segak bertali leher pulang dari kerja pejabat barangkali dan gadis-gadis kilang beruniform biru tua senyum berbual. Semua nampak normal. Nampak biasa. Tiada apa yang pelik. Masih seperti semalam yang aku lihat.
Walau apa pun, mereka-mereka yang aku lihat berkongsi satu benda. Masing-masing ada rahsia yang mereka simpan. Masing-masing ada perkara yang tak mahu diceritakan. Harus diakui realiti dunia penuh dengan rahsia dan misteri. Tak mungkin dapat dirungkai habis walau sedalam mana lubang digali.
Hmm... baiklah... pakcik tua tadi sebenarnya ketua samseng yang sudah hidup senang dengan downline yang aktif, kanak-kanak lelaki itu sedang asyik makan semut seorang diri, lelaki muda segak tadi miliki skandal dengan bosnya seorang encik, dan gadis-gadis kilang itu sebenarnya pelacur di malam hari.
Sudah tentu aku bergurau bukan? Mana aku tahu apa rahsia yang mereka semua simpan. Mana mungkin aku boleh menuduh itu ini, bersangka buruk, meneka tanpa alasan atau sebab. Aku tak kenal mereka. Ya, walaupun aku kenal mereka, mana mungkin rahsia yang berat-berat aku boleh tahu. Ungkapan ‘tiada rahsia antara kita’... cit podah...
Ada satu pengajaran yang amat sukar untuk difahami. Walaubagaimana teruk kau berusaha, kau tak akan dapat tahu sepenuhnya tentang seseorang yang kau rapat atau sayangi. Walau kau menjalani hidup bersama, walau kau mengembara ke hujung dunia bersama, malah walau kau terpaksa berdepan mati bersama-sama sekalipun, tetap akan ada rahsia antara kau dan dia.
Ketika aku menulis ini, aku teringat seorang kenalanku. Sesorang yang pada aku penuh misteri. Matanya menyimpan seribu rahsia. Gayanya terukir sejuta maksud... ya... aku lebih-lebih. Kerna pada aku dia penuh dengan sesuatu yang tak dapat dirungkai. Setiap kali dia bercerita mesti ada benda baru yang tak dapat diagak. Aku mahu memahaminya. Bukan kerna aku mahukan dia, aku hanya mahu... aahh.. sudahlah... apa-apa pun, aku tahu dia ada satu rahsia yang dia cuba sembunyikan... rahsia yang cukup kuat untuk memusnahkan segalanya...
Berdebar bukan? Jangan risau. Semuanyanya masih rahsia. Sehingga noktah terakhir ini pun ia tetap kekal rahsia.
1 ulasan:
phew! best. ;) selamat berkenalan.
Catat Ulasan