Sabtu, 13 November 2010

Tuah Dan Jebat

Melaka yang terkenal dengan keperkasaan dan ketaatan laksamananya kini dilanda huru hara akibat Jebat yang derhaka. Puas dipujuk rayu tapi Jebat tetap dengan pendiriannya. “Gua mahu keadilan!” jerit Jebat lantang. “Kematian Tuah perlu dibela,” bisik syaitan halus ke telinga Sang Penderhaka . Taming Sari dalam gengaman Jebat dan istana sudah pun Jebat tiduri. “Dia bukan siapa-siapa. Gua yang berkuasa sekarang!” pekik Jebat pada dayang-dayang istana sambil menunjuk karikatur Sultan di dinding.

Sultan dan pembesar-pembesar negeri kini berkumpul di teratak Datuk Bendahara. Memandangkan telefon dan radio pada masa itu masih diharamkan penggunaannya oleh askar Jepun, jalur lebarlah satu-satunya medium komunikasi dengan dunia luar. Menggunakan ‘ID’ Jejaka Sepi, baginda pun ‘Buzz’ kenalan-kenalan baginda di ‘Yahoo Messenger’. Malangnya satu pun tidak menyahut memandangkan hari itu adalah malam minggu. Melihat kegusaran di wajah Sultan, Datuk Bendahara dengan rasa berat hati terpaksa memberitahu satu rahsia yang pada hemat beliau pasti akan menimbulkan kemurkaan Sultan.

“Tuanku, aku sebenarnya ada benda nak beri tahu. Tapi aku takut Tuanku marah.” ujar Datuk Bendahara sambil ber’webcam’ dengan pacarnya Senah. “Hmm.. kalau apa yang hang nak beri tahu ni berkaitan dengan Senah, tak perlu. Aku percaya jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Aku dah lama tahu hubungan hang dengan Senah” luah Sultan isi hatinya. Senah merupakan cinta pandang pertamanya. Semuanya bermula di ‘facebook’ dimana pada ketika itu Sultan baru berjinak-jinak dengan alam maya. Hampir setiap 15 minit status ‘facebook’nya di ‘update’.

Datuk Bendahara tertunduk malu apabila rahsia hubungannya dengan Senah rupa-rupanya sudah diketahui Sultan. “Tapi Tuanku, perkara sebenar yang aku nak beri tahu adalah berkaitan dengan Tuah…” ujar Datuk Bendahara gusar. “Come on Datuk… kenapa mesti semua orang yang pernah melukakan hati aku hang nak sebut? Mula-mula Senah, sekarang Tuah pula?” keluh Sultan kecewa. Masih terbayang lagi syarat-syarat peminangan Puteri Gunung Ledang yang dikirim melalui email dua tiga bulan yang lepas. Semuanya berpunca dari Tuah yang terlebih dahulu menawan hati Puteri Gunung Ledang. “Hmm… walau bagaimanapun, kalaulah Tuah Masih hidup, sanggup tak dia tolong aku membinasakan Jebat penderhaka itu? Sanggupkah dia?” Sultan sudah tidak mampu lagi menahan segala kekesalan dan sebak di hati. Pada Sultan, baginda adalah ketua negeri. Baginda berhak keatas gadis-gadis comel nusantara. Baginda kini benar-benar kesal dengan tidakan baginda menzalimi Tuah.

“Tuanku, sebenarnya Tuah masih hidup. Aku telah menyorokkan Tuah dekat rumah Combi di Pulau Pinang. Maafkan aku Tuanku. Aku tak sampai hati nak menurut titah Tuanku pada waktu itu. Tuanku terlalu mengikut perasaan. Habis semua mahu dibunuh… benci!” ujar Datuk Bendahara panjang lebar sambil berpaling muka kearah dinding. “Hang jangan nak main-main Datuk… aku tengah serabut ni.” soal Sultan ragu-ragu. “Sungguh… aku tidak bohong Tuanku. Kalau Tuanku tidak percaya, cuba Tuanku search ‘Google’.” tegas Datuk Bendahara dengan kenyataan beliau. Bagaikan ada satu cahaya yang berkilauan terpancar di ruang tamu kediaman Datuk Bendahara ketika itu. Sinar-sinar harapan mula membentuk. Sudah terbayang bantal busuk yang tidak sempat dibawa lari disaat Jebat menakluki istana.

Tuah pun dibawa menghadap Sultan pada keesokan harinya. Lagu ‘Suatu Masa’ dendangan M. Nasir mengiringi pertemuan Tuah dan Sultan pada hari itu. Segala perkara sepanjang ketiadaan Tuah diceritakan dalam pertemuan itu. Kisah Jebat menjadi tajuk utama. Tuah tidak sedikit pun terkejut dengan perkara itu. “Kalau Tuanku nak tahu, pernah suatu ketika dahulu ketika ceq dan Jebat masih kecil, Jebat pernah bertanya pada cikgunya. Mengapa perlu belajar sejarah sekiranya manusia masih melakukan kesalahan yang sama sepanjang sejarah manusia? Tidak tahu atau sengaja? Jadi dimanakah keadilan? Selain itu….” Tuah terpaksa memberhentikan ceritanya apabila terperasan raut wajah Sultan kelihatan bosan dan membetul-betulkan wayar earphone yang tersimpul untuk dipakai.

“Baiklah Tuah, usahlah kita membuang masa lagi. Amir pun sudah tidak tahu apa lagi yang mahu ditulis. Makin merapu je jalan ceritanya aku tengok. Dengan ini aku perintahkan hang pergi bunuh Jebat si penderhaka itu!” Titah Sultan sambil melihat jam di dinding yang menunjukkan waktu sudah hampir pukul 3 pagi. Maka mati la Jebat di tangan Tuah. Mereka semua yang terlibat pun tidur selepas itu kerana sudah mengantuk sangat-sangat… ZZzzzzz……

Tiada ulasan: